Ibu yang baru sahaja melahirkan anak mempunyai dua pilihan penyusuan iaitu memberi susu sendiri atau susu botol yang menggunakan susu lembu. Saya suka menyarankan, adalah lebih baik ibu-ibu memberi susu sendiri kerana banyak kelebihannya berbanding dengan susu lembu.
Susu ibu tidak seperti susu lembu yang memerlukan wang untuk membelinya. Ia mudah didapati dengan tidak memerlukan botol dan mudah diberikan kepada bayi bila-bila masa sahaja dalam apa jua keadaan. Di samping itu susu ibu mempunyai khasiat yang tinggi dari segi kandungan zat pemakanan. Ia mudah dihadam oleh bayi yang masih mempunyai sistem penghadaman yang kurang matang dan mendapati sukar untuk menghadam makanan yang lain daripada susu ibu. Ia juga mengandungi satu bahan pelindung untuk melawan penyakit iaitu antibodi. Dengan itu ia dapat memberi pertahanan kepada bayi yang baru lahir terhadap serangan jangkitan kuman.
Oleh itu susu ibu terkandung dalam satu takungan yang jarang-jarang dimasuki kuman, risiko bayi mendapat jangkitan kuman dari penyusuan ibu adalah jauh lebih rendah berbanding dengan penyusuan botol. Satu perkara yang amat penting dan perlu difikirkan dengan mendalam oleh ibu-ibu ialah penyusuan ibu boleh menjalin hubungan yang lebih rapat antara ibu dengan bayinya.
Susu Lembu
Jelaslah susu ibu mempunyai manfaat yang tiada tandingannya. Seperti yang saya nyatakan tadi, untuk mendapatkan susu lembu, kita terpaksalah mengeluarkan perbelanjaan yang mungkin boleh digunakan untuk membeli makanan yang berkhasiat. Walau bagaimana baik pun susu formula itu dibuat ia tetaplah daripada susu lembu yang masih tidak setanding dengan susu ibu. Dalam hal ini perlu saya nyatakan bahawa susu pekat manis dalam tin yang biasa kita gunakan untuk membuat minuman tidak sesuai untuk bayi.
Terdapat banyak jenis susu untuk bayi di pasaran dengan jenama yang berlainan dan fomula yang agak berlainan sedikit tetapi khasiatnya tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Apa yang ketara hanyalah perbezaan dalam harga antara satu jenis dengan jenis yang lain. Ada sesetengah ibu sengaja membeli susu tepung yang lebih mahal kerana ini dapat dikaitkan dengan simbol status. Perlu diingat, susu yang mahal itu tidak bermakna banyak khasiat atau setanding dengan susu ibu. Semua susu tepung adalah sama, iaitu diperbuat daripada susu lembu.
Jika Tidak Boleh Menyusu
Sebaiknya setiap ibu perlu menyusukan anaknya sendiri. Jika ibu mengalami beberapa masalah barulah membuat pilihan dengan menggunakan susu lembu. Antara masalah yang mungkin menyebabkan seseorang ibu itu terpaksa menyusukan secara botol ialah:
Jangkitan kuman pada buah dada menyebabkan buah dada menjadi bengkak dan bernanah (abcess).
Ibu yang sakit tenat seperti penyakit jantung dan tidak berdaya untuk menyusukan bayi. Ibu ini juga dinasihatkan supaya tidak menyusukan bayinya.
Ibu-ibu yang mempunyai masalah pada putting susu seperti inverted nipple. Masalah ini kadangkala boleh diatasi dengan menggunakan sejenis alat yang boleh membetulkan keadaan putting buah dadanya. Ini boleh diajarkan oleh doktor.
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment