Wednesday, September 2, 2009

Masalah Ibu Yang Bekerja

Loved; Sharifah Nurul Ain at 12:59 AM
Saya sering dapati ibu-ibu yang bekerja mengalami masalah penyusuan khususnya pada waktu bekerja dan ini menjadi faktor utama mengapa ibu-ibu tidak terus memberi susu badan selepas waktu pantang. Ketika ibu bekerja beberapa masalah timbul seperti buah dadanya bengkak kerana penuh dengan susu. Ini menyebabkan susu meleleh keluar dan membasahi bajunya.

Sebenarnya masalah ini boleh diatasi jika ibu-ibu mengetahui cara memerah susu.
Jika ibu bekerja, pada waktu yang sepatutnya anak menyusu, bolehlah diperah keluar dengan menggunakan sejenis pam khas untuk menyedut susu ibu. Terdapat berbagai-bagai jenis breast pump di pasaran yang boleh diberli .
Susu yang disedut keluar di pejabat boleh disimpan dalam botol dan kemudiannya dimasukkan ke dalam peti sejuk. Lakukan ini setiap tiga jam sekali. Apabila hendak digunakan, botol susu tadi direndamkan dalam air panas sebelum diberikan kepada bayi. Dengan ini ibu itu tidak membazir susunya. Memerah susu dengan menggunakan pam susu ini boleh menentukan pengeluaran susu yang berterusan dan menjauhkan masalah susu menjadi kering. Jika terdapat pusat jagaan bayi di pejabat, ini tentulah akan dapat mengatasi masalah yang saya nyatakan tadi dan bayi akan sentiasa mendapat susu ibunya.
Satu lagi cara yang mungkin boleh dilakukan ialah dengan menghantar susu yang telah siap diperah ini kepada anak yang tinggal di rumah atau pusat jagaan atau ibu sendiri pulang ke rumah menyusukannya sendiri. Ini juga boleh mengelakkan bayi diberi susu lembu semasa ibunya tiada di rumah.
Pergantungan bayi terhadap susu lembu menerusi botol kadangkala boleh menyebabkan ia menolak langsung susu ibu. Ini memang menjadi satu masalah kepada ramai ibu yang bekerja. Saya ingin menyatakan di sini susu ibu yang dipam atau disedut keluar boleh disimpan dalam freezer untuk beberapa waktu tanpa rosak atau berubah khasiat dan mutu makanan yang terkandung dalam susu itu. Apabila ia dikehendaki, cairkan dahulu dengan meletakkannya di luar dan kemudian dipanaskan sebelum ia diberi kepada bayi.

0 comments:

Post a Comment

 

QasehBonda Copyright © 2009 Baby Shop is Designed by Ipietoon Sponsored by Emocutez